HUKUM SOLAT JENAZAH ATAS KUBUR

 Muhammad Rif'aat Razman

 

HUKUM SOLAT JENAZAH ATAS KUBUR
Perkara ini telah dijelaskan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, rujuk AL-KAFI #1165. Pautannya saya letak di ruangan komen. Saya nukilkan sebahagian daripada penjelasan tersebut:
Sah solat jenazah di atas kubur. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW, daripada Abi Hurairah R.A, katanya:
أَنَّ رَجُلًا أَسْوَدَ - أَوِ امْرَأَةً سَوْدَاءَ - كَانَ يَقُمُّ الْمَسْجِدَ ، فَمَاتَ ، فَسَأَلَ النَّبِيُّ عَنْهُ فَقَالُوا مَاتَ ، قَالَ أَفَلَا كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ ، دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ - أَوْ قَالَ قَبْرِهَا - فَأَتَى قَبْرَهَا فَصَلَّى عَلَيْهَا
Maksudnya: Bahawasanya seorang lelaki kulit hitam – atau perempuan kulit hitam – yang biasa membersihkan masjid telah mati. Maka Nabi SAW bertanya tentangnya, lalu sahabatnya menjawab dia telah mati. Nabi SAW berkata: "Mengapa kamu tidak memberitahuku tentangnya? Bawalah aku ke kuburnya." Nabi SAW lalu datang ke kuburnya dan solat ke atasnya.
Riwayat al-Bukhari (458)
Hukum solat jenazah di kubur adalah dibolehkan jika seseorang itu tidak sempat untuk menyembahyangkannya di masjid atau tempat lainnya. Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
مَاتَ إِنْسَانٌ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعُودُهُ فَمَاتَ بِاللَّيْلِ فَدَفَنُوهُ لَيْلاً، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَخْبَرُوهُ فَقَالَ ‏ “‏ مَا مَنَعَكُمْ أَنْ تُعْلِمُونِي ‏”‏‏.‏ قَالُوا كَانَ اللَّيْلُ فَكَرِهْنَا ـ وَكَانَتْ ظُلْمَةٌ ـ أَنْ نَشُقَّ عَلَيْكَ‏.‏ فَأَتَى قَبْرَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ.
Maksudnya: Telah mati seseorang yang Rasulullah SAW selalu menziarahinya maka matinya pada waktu malam dan dikebumikan juga pada waktu malam. Apabila subuh, mereka memberitahu Rasulullah SAW maka berkata Rasulullah SAW: “Apa yang menghalang kalian dari memberitahuku?”. Mereka berkata: “Sudah malam dan gelap dan kami tidak mahu menyusahkan kamu”. Rasulullah SAW telah pergi ke kuburnya dan menyembahyangkannya.
Riwayat Al-Bukhari (1247), Ibn Majah (1530)